SEPANG – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) tidak menyangka hasrat untuk menunaikan umrah selama ini akhirnya terlaksana, dan lebih istimewa ibadah itu dapat disempurnakan secara beramai-ramai bersama rakan-rakan senasib dengannya.
Nor Hidayu Mohd Yusoff, 36, dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berkata, dia amat bersyukur apabila kesemua urusan ibadah umrah sepanjang 12 hari 10 malam berada di tanah suci Mekah dan Madinah dipermudahkan dengan segala proses dibantu oleh mutawif serta 10 sukarelawan yang bertindak sebagai pembimbing.
Menurut guru Al-Quran itu, walaupun dia dan rakan-rakan lain tidak dapat melihat Kaabah seperti individu normal yang lain, namun suasana yang dirasai ketika pertama kali menjejakkan kaki ke tempat suci itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Mutawif beritahu bila kami sudah sampai di hadapan Kaabah dan ketika semua orang terus menangis walaupun kita tak nampak Kaabah dengan mata sendiri.
“Tapi apa yang kita dapat rasakan adalah satu keadaan yang begitu dingin dan tempat itu sangat sejuk, sebab itu lah kami kami menangis walaupun tidak dapat melihat,” katanya ketika ditemui pemberita sempena kepulangan jemaah umrah Pertis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pertis, Jasmadin Budin merangkap penyelaras program berkata, ini merupakan projek pertama Pertis untuk membawa jemaah OKU penglihatan menunaikan umrah dengan menerima penajaan dari Andalusia termasuk sumbangan daripada pihak-pihak lain.
Dalam pada itu, mutawif Andalusia, Mohd Firdaus Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rock berkata, perjalanan umrah kali ini dianggap agak berbeza dan lebih istimewa dengan penyertaan daripada golongan OKU penglihatan. – KOSMO! ONLINE