GEORGE TOWN – Seorang kontraktor sambilan bagai mendapat nyawa kedua apabila terlepas hukuman mati selepas dihukum penjara tujuh tahun atas kesalahan memiliki 653.38 gram (g) kanabis, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Pulau Pinang, Rofiah Mohamad memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, M. Kummaresan, 30, dan meneliti fakta kes, rayuan serta hujah pendakwaan.
Selain itu, Kummaresan turut dikenakan hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tambahan pertuduhan methamphetamin seberat 4.85g.
Rofiah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 13 April 2019. Kummaresan turut dikenakan hukuman 10 sebatan atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, isteri Kummaresan, A. Sharnia, 30, yang dituduh secara bersama-sama melakukan kesalahan itu dilepas dan dibebaskan.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kummaresan didakwa 653.38g kanabis di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang, George Town pada pukul 1.10 pagi, 13 April 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.
Bagi pertuduhan tambahan, Kummaresan dituduh memiliki methamphetamine seberat 4.85g.
Terdahulu, Peguam Pravin Mahentran memohon hukuman penjara yang ringan kepada anak guamnya kerana ketika ditangkap lelaki itu berusia 25 tahun dan direman selama lima tahun di penjara.
”Kummaresan dan isterinya baru berkahwin pada 25 Mac 2019 malah mereka tidak sempat membuat perkahwinan adat kerana ditahan. ‘Kummaresan juga masih muda dan harus diberi peluang membina kehidupan baharu. Dia mengaku bersalah dan ia menjimatkan masa mahkamah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, NurHanisah SH Sahul Hamid memohon hukuman yang setimpal berdasarkan jumlah dadah yang ditemui. -KOSMO! ONLINE