PETALING JAYA – Malaysia berminat untuk meningkatkan perdagangan dengan Qatar khususnya dalam bidang produk makanan, bekalan hospital dan produk pakai buang perubatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bidang lain termasuk perdagangan bagi produk kecantikan dan penjagaan kesihatan serta platform dan aplikasi e-dagang.
“Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia di rantau Asia Barat tahun lepas. Saya percaya hubungan perdagangan ini berpotensi untuk ditingkatkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyertai pertemuan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani di Riyadh, Arab Saudi.
Kelmarin, Anwar tiba di Riyadh bersama delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) selama dua hari sehingga semalam. – KOSMO! ONLINE