PETALING JAYA – Istilah “rumah seperti penjara” sering digunakan untuk menggambarkan suatu tempat tinggal yang sangat terkekang atau terbatas sehingga mengundang ketidakselesaan penghuninya.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian di Facebooknya berkata, antara ciri suasana tempat tinggal diibaratkan seperti penjara adalah dengan memiliki peraturan yang sangat ketat, saiz rumah terlalu kecil dan ruang kediaman sempit.
Selain itu, konflik yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga juga boleh menimbulkan aura negatif di dalam rumah.
“Antara ciri lain adalah kehidupan seperti terasing dengan dunia luar serta tiada kebebasan yang dimiliki oleh penghuni,” jelas PHM.
Sehubungan itu, PHM mencadangkan beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi situasi rumah seperti di penjara
“Amalkan komunikasi secara terbuka dengan kongsikan perasaan anda dengan ahli keluarga atau rakan-rakan serumah. Terbuka untuk membincangkan isu dan konflik.
“Menetapkan batasan dalam rumah untuk memastikan setiap orang mempunyai ruang peribadi sendiri selain dapatkan sokongan emosi daripada penghuni luar seperti rakan, saudara-mara, atau kumpulan sokongan lain.
“Boleh luahkan masa melakukan aktiviti seperti senaman atau aktiviti sosial di luar rumah untuk dapat elakkan rasa terkurung di dalam rumah,” kata PHM.
Tambah PHM, langkah seterusnya adalah lakukan perubahan dalam ruang kediaman untuk menjadikannya lebih selesa dan menarik.
“Amalkan rasa syukur dan fokus kepada aspek positif situasi kediaman anda, dan jika keadaan semakin memburuk, segera dapatkan bantuan profesional agar ia tidak jejaskan kesihatan mental,” pesannya. – KOSMO! ONLINE