KUALA LUMPUR — Pengurus kepada pelakon Sophia Albarakbah, Nik Yasmin meminta semua pihak menunggu pelakon itu membuat kenyataan rasmi berhubung kontroversi yang mengaitkan artis di bawah pengurusannya itu bersama Aliff Aziz.
Ujar Nik Yasmin, pihaknya sedia maklum mengenai isu berkenaan namun lebih baik Sophia bercakap sendiri kerana ini membabitkan kisah peribadinya.
“Kita tunggu dia cakap sendiri. Saya tidak mahu salah cakap sebab saya hanya menguruskan kerjaya, tak mahu nanti apa yang saya cakap disalah tafsir dan beri kesan kepada kerjaya dia.
“Kalau boleh kita tunggu Sophia sendiri bagi respons. Saya tak boleh beri kenyataan bagi pihak dia, tak mahu bagi kenyataan yang mengundang atau jadikan isu ini jadi lebih besar dan orang memarahi dia.
“Saya tahu benda yang berlaku dan sudah tentu saya dari pihak pengurusan kena prihatin dengan benda itu dan sudah tentu kami ada berbincang dengannya kerana ketika kejadian itu berlaku kami ada dengan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis pra pelancaran filem Harimau Malaya dan Terkutuk, hari ini.
Bagaimanapun, Sophia tidak hadir pada majlis tersebut disebabkan perlu mengikuti menghadiri kelas bahasa Jepun.
“Ya filem ini penting untuk dia. Tapi dia ada jadual untuk ‘job’ seterusnya.
“Dia sekarang ada dalam kelas bahasa Jepun untuk drama Saga With Love musim kedua. Bulan depan dia akan Jepun untuk drama itu,” katanya kepada Kosmo! Online
Terdahulu, wanita mendakwa dirinya kekasih gelap kepada Aliff iaitu Sarah Yasmine mendedahkan Sophia masih berhubungan dengan Aliff.
Wanita asal Singapura itu juga memuat naik perbualan mesej yang mengesahkan mereka masih berhubung dengan Sophia sehingga Mac lalu.
Sarah turut mendakwa sekiranya Sophia sudah tidak melayan Aliff mengapa perlu wujud akaun Instagram palsu untuk berbual. – KOSMO! ONLINE