GEORGE TOWN – Penduduk di negeri ini kecoh di media sosial sejak semalam selepas tular maklumat yang mendakwa perkhidmatan feri Pulau Pinang akan ditamatkan operasi hujung tahun ini.
Maklumat tanpa pengesahan itu turut diulang siar oleh beberapa pengguna Facebook yang menyebut Terminal Raja Tun Uda di sini akan ditutup bermula 1 Januari depan hingga 30 Jun 2022 dan dipindahkan ke Swettenham Peer di sini.
Kenyataan itu menyebut, perkhidmatan feri hanya untuk pejalan kaki dan basikal dalam tempoh berkenaan sebelum terminal itu dibuka semula pada 1 Julai 2022 hanya untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal.
Menurut dakwaan tanpa sumber itu, 31 Disember ini dikatakan hari terakhir perkhidmatan ikonik tersebut beroperasi.
Sementara itu, sumber dari Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) ketika dihubungi hari ini berkata, berita tular itu adalah tidak tepat.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, isu berkenaan akan dijelaskan pada sidang akhbar yang dijangka dibuat pihaknya esok.
Sebelum ini terdapat desas desus mengenai dakwaan penggantian feri Pulau Pinang dengan feri baharu jenis katamaran atau teksi air.
Seorang pengguna feri, Danial Abd. Majid, 38, berkata, dia terkejut selepas melihat maklumat tular itu di Facebook pagi tadi, namun tiada laporan rasmi ditemui.
“Kalau ianya benar, saya pasti sedih kerana kerap menggunakan perkhidmatan itu untuk berulang-alik ke bahagian pulau dengan motosikal atau kereta dari Butterworth,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini. – K! ONLINE