HULU SELANGOR – Kerja-kerja baik pulih cerun di Jalan Batang Kali-Genting di sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Disember 2022 memasuki fasa akhir dan dijangka siap pada 30 Jun nanti.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek tersebut yang menelas kos RM19 juta sudah siap lebih 86 peratus meskipun mengalami kelewatan sebelum ini.
Menurutnya, kelewatan tersebut disebabkan pihak kontraktor gagal menerima pembekalan bahan binaan ‘wall system’ (sistem dinding bertingkat) mengikut jadual ditetapkan.
“Namun begitu, kontraktor memberi komitmen untuk menyiapkan kerja dengan penambahan pekerja dan jentera di tapak sebagai langkah penyelesaian.
“Jangkaan tarikh siap adalah pada akhir Jun ini termasuk dengan pembukaan semula laluan tersebut kepada semua pengguna jalan raya yang dijadualkan pada 1 Julai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kemajuan Projek Baik Pulih Cerun Laluan B66, Jalan Batang Kali-Genting, di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kejadian tanah runtuh di Batang Kali di sini yang mengorbankan 31 nyawa pada 16 Disember tahun 2022 berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, buat masa kini, laluan tersebut yang ditutup sejak 29 Mei tahun lalu hanya dibuka kepada pengguna jalan raya yang bekerja di Kawasan Genting, Pahang dengan pengesahan surat majikan masing-masing. – KOSMO! ONLINE