KOTA BHARU – Model koperasi kariah masjid dan sekolah yang diperkenalkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menjadi rujukan di Kemboja dan Filipina.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, lima koperasi di Kemboja dan tiga buah koperasi di Filipina sudah mengikuti model yang diperkenalkan oleh pihaknya.
Menurutnya, kejayaan itu menyaksikan sekolah-sekolah di Thailand, Timor Leste dan Kenya akan mengadaptasi model yang diperkenalkan Angkasa di negara-negara berkenaan.
“Angkasa membawa empat produk dari Malaysia untuk diperkenal dan diadaptasi oleh koperasi luar negara iaitu model koperasi masjid, sekolah, produk halal dan kewangan islam.
“Model yang diperkenalkan di Kemboja dan Filipina mendapat respon yang baik kerana ia lebih praktikal dalam survival pertubuhan koperasi pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri (MAN 2024) Kelantan, di sebuah hotel, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik memberitahu, model koperasi yang diperkenalkan Angkasa di negara-negara tersebut lebih dekat dengan komuniti sekali gus memudahkan penerimaan masyarakat setempat.
Menurutnya, selain itu, model koperasi sekolah juga membantu pihak koperasi mencari pelapis untuk meneruskan pertubuhan tersebut di negara-negara tersebut. – KOSMO! ONLINE