ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma di kawasan tanah terbiar dalam wilayahnya di daerah Baling, Padang Terap dan Sik pada tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, projek tanaman rintis pembangunan padi wangi seluas 34.57 hektar dicadangkan di Kampung Weng Dalam, Baling.
“Projek rintis ini dijangka bermula pada September atau Oktober tahun ini dan KEDA sedang mengenal pasti pihak-pihak tertentu untuk membimbing peserta-peserta terlibat.
“KEDA juga berhasrat untuk mempergiatkan penanaman padi bukit (padi huma) juga di kawasan operasinya. KEDA kini mencari peserta yang berminat serta kawasan bersesuaian untuk dibangunkan selain rakan strategik berpengalaman bagi mempermudahkan proses pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri KEDA di ibu pejabatnya, di sini hari ini.
Menurutnya, usaha membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma itu adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan petani memandangkan harga beras wangi adalah tinggi berbanding padi bagi beras putih tempatan.
“Selain itu, KEDA juga ingin membantu kerajaan dalam menangani isu pengeluaran beras di negeri ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE