PELUANG untuk menyumbang mata kedua buat pasukan negara gagal digunakan sebaiknya perseorangan wanita, K. Letshanaa apabila dia tewas 21-13, 17-21, 16-21 kepada Hsu Wen Chi ketika Malaysia tumbang 1-4 kepada Taiwan dalam saingan Piala Uber.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Hi-Tech Zone Chengdu, China semalam, Letshanaa berpeluang meletakkan Malaysia 2-1 di depan selepas beregu, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menyumbang mata pertama.
Letshanaa menyuarakan rasa kecewa atas kekalahan itu memandangkan dia percaya mampu menewaskan Wen Chi sekiranya dia tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang memberikan mata percuma kepada lawan.
“Perlawanan yang agak sukar dan sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat menyumbangkan mata buat pasukan negara. Saya sepatutnya boleh menang di set kedua tetapi kerana hilang fokus, perlawanan dibawa ke set ketiga.
“Memasuki set penentuan, memang tugas sukar untuk saya kerana sudah berada dalam keadaan penat, ditambah pula kedudukan mata yang rapat. Saya anggap ini adalah pengalaman untuk diri saya,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pemain berusia 21 tahun itu menganggap kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna untuknya supaya tidak mudah hilang fokus menjelang perlawanan-perlawanan akan datang.
Pada perlawanan itu, Taiwan meraih mata pertama menerusi bekas pemain No.1 dunia, Tai Tzu Ying yang menewaskan Goh Jin Wei 21-19, 22-20, namun kembali disamakan Pei Kee-Mei Xing apabila menang 21-19, 21-17 ke atas Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching.
Kemudian, Letshanaa yang turun sebagai perseorangan kedua juga tewas kepada Wen Chi sebelum Taiwan memastikan mata ketiga selepas Hu Ling Fang-Teng Chun Hsun menewaskan Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi 21-17, 21-11.
Hasrat Malaysia untuk sekurang-kurangnya mengutip dua mata pada perlawanan itu tidak tertunai apabila perseorangan ketiga, Wong Ling Ching akur tewas 17-21, 20-22 selepas bersaing hebat menentang Sung Shuo Yun.
Malaysia berdepan aksi hidup mati apabila wajib menewaskan naib juara edisi 2018, Thailand hari ini bagi menghidupkan semula peluang melayakkan diri ke suku akhir sebelum bertemu Australia Rabu nanti.