fbpx

Pengurus rumah kebajikan didenda RM4,500 pukul warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vignesvari (dua dari kiri) dituduh mencederakan warga emas di sebuah rumah kebajikan di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

KULIM – Seorang pengurus sebuah rumah kebajikan orang tua didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang warga emas pada Isnin lalu.

Majistret Jamaliah Abd. Manap menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, L. Vignesvari, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Jamaliah turut memerintahkan wanita terbabit dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Vignesvari setakat pukul 12.30 tengah hari belum membayar denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada P. Tharmalingan, 69, menggunakan kayu di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Karangan, dekat sini kira-kira pukul 3 petang, 22 April lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Suhailah Ahmad yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk pengajaran memandangkan dia seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun selain tiada pendapatan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S. Pavitra memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh kerana ia kes berkepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan polis menahan pemilik dan pengurus sebuah rumah kebajikan di Taman Desa Aman bagi membantu siasatan kejadian seorang penghuni warga emas yang didakwa dipukul.

Rakaman video memaparkan kejadian berkenaan turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI