PUTRAJAYA – Pengarah Michael Ang tidak berkecil hati apabila disindir secara ‘halus’ pada pentas akhir Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) yang sedang berlangsung sekarang.
Bahkan, Michael, 44, tampil memberi pujian terhadap persembahan Noraniza Idris menerusi ciapan dalam Twitter miliknya.
“La relax aje la. Biasalah kena carut! Mike okey aje!,” ciap pengarah drama rantaian Perempuan Tanpa Dosa itu.
Menyanyikan lagu Empat Dara (duet bersama Aishah) dan Hutang, Noraniza sebak usai menamatkan persembahan segmen pertama.
“Saya belajar. Saya anggap Tok Ram sebagai mentor. Kritikan saya ambil sebagai pembelajaran akan datang,” ujar Noraniza menahan sebak.
Dalam pada itu, Micheal yang sebelum ini sering mengkritik pedas persembahan Noraniza tampil memuji persembahan Ratu Irama Malaysia itu malam ini.
“Aishah macam bernyanyi atas darat suara berdayu macam bayu. Satu lagi macam nyanyi sedang tanggelam dalam sungai. But I have to say today is Noraniza best performance so far (Tapi saya harus cakap persembahan Noraniza hari ini paling terbaik setakat ini).
“Surprising not bad on the second song. Nice twist for this song (mengejutkan, boleh tahan pada lagu kedua. Twist yang menarik untuk lagu ini),” ciap Michael.
Terdahulu, pada peringkat separuh akhir minggu lepas, Michael dilihat lantang memberikan komen persembahan peserta GV7 menerusi Twitter.
Nama Noraniza antara penyanyi yang sering mendapat kritikan pedas dan negatif daripada pengarah itu.
Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan pengarah itu selepas tamat program berkenaan.
Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang pengguna Facebook menyentuh isu status mualaf Michael dan mempersoalkan tujuan utamanya masuk Islam kerana ingin mendapatkan simpati dan populariti. – K! ONLINE