PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini berkongsi khabar gembira apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor.
Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, menzahirkan kesyukuran atas kejayaan puteranya meraih kedudukan 10 teratas dalam akademik.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT. Tahun ini Ryan dapat tempat 10 pelajar terbaik, tetapi kali ini dekat MRSM Sungai Besar pula.
“Tahniah, mummy akan pastikan anak-anak mummy cemerlang dalam akhlak dan pendidikan.
“Doa mummy selalu bersama anak-anak. Terima kasih ustazah. Tahniah Ryan, kawan-kawan dan ustazah,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, sebuah video lain memaparkan Ryan memberi ucapan kepada ibunya yang sentiasa menjadi pendorong utama sejak kecil.
“Terima kasih mummy sebab dari kecil hingga besar mummy jaga Ryan.
“Daripada bayi, mummy tolong ajar Ryan berjalan sampai Ryan mendapat pointer 3.99. Sikit sahaja lagi nak straight A+. Cuma satu sahaja A-,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ryan berazam untuk mendapatkan gred 4 flat pada semester akan datang.
“Untuk semester seterusnya, Ryan akan cuba yang terbaik untuk mummy.
“Ryan cuba untuk dapatkan 4 flat untuk semester seterusnya. Ini hadiah hari lahir Mummy tahun ini,” katanya menerusi hantaran video Rita.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh dengan kejayaan permata hati pelakon terbabit, selain mendoakan anak-anak Rita menjadi anak soleh pada masa depan.
“Masy-Allah meremang bulu roma tengok keputusan cemerlang Ryan 3.99. Bukan mudah subjek di MRSM mencecah secemerlang ini, bangganya aunty,” ujar netizen.
Airit Rayyan Rizqin merupakan anak sulung hasil perkahwinan Rita dengan bekas suami yang juga pemain bola sepak negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak. – KOSMO! ONLINE