fbpx

Tragedi helikopter TLDM: ‘Terima kasih abang buat saya rasa dihargai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laksamana Pertama Azman Rabani selaku wakil Jawatankuasa Laksamana TLDM menyampaikan Panji TLDM kepada balu Allahyarham selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, di sini, Rabu lalu. Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Luahan isteri kepada Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Facebook miliknya kelmarin berkenaan betapa istimewanya bulan April begitu menyentuh hati.

Sebelum ini, April menjadi bulan dinanti oleh isteri Mohammad Amirulfaris termasuk hari ulang tahun kelahirannya pada 25 April lalu dan ulang tahun perkahwinan mereka, namun bertukar menjadi tarikh duka.

Menurut Siti Aisyah, tarikh insiden berkenaan 23 April itu menjadi catatan tarikh duka pemergian suami tercintanya buat selama-lamanya.

“Setiap kali bulan April, sayang mesti suka sebab abang lahir 3 April, ulang tahun perkahwinan ibu dan ayah abang 3 April, ibu abang lahir 5 April, ulang tahun perkahwinan kita 15 April, Affan lahir 21 April.

“Lepas ni, bertambah satu tarikh duka untuk sayang dan anak-anak abang… 23 April 2024 hari pemergian Abang untuk selama lamanya,” luahnya di media sosial Facebook itu pada hari kelahirannya yang lalu.

Siti Aisyah juga mencoret selepas ini tiada lagi ucapan terima kasih daripada suaminya itu setiap kali dia melakukan sesuatu dan mengakui ucapan itu membuatkan dirinya rasa dihargai.

“Mulut Abang tak pernah lekang dengan ucapan terima kasih. Terima kasih Abang tu selalu buat sayang rasa dihargai… Sekarang sayang pula nak ucapkan terima kasih kat Abang,” luahnya.

Wanita itu turut meluahkan yang dia kini redha dengan pemergian Allahyarham dan sentiasa kuat untuk meneruskan hidup serta menjaga anak.

“Alhamdulillah semua dah selamat, semua dipermudahkan… Selamat jalan abang. Sayang doakan rumah baru abang luas, terang dan lapang,” kongsinya.

TLDM pada Selasa mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian jam 9.32 pagi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, semasa kejadian, semua kru terlibat sedang mengikuti sesi latihan sempena perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI