fbpx

‘Saya cuba keluarkan ibu, ayah tapi tak berjaya kerana mereka tersepit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Aniq Asyraf (kiri) melihat keadaan adiknya, Tuan Muhammad Adam Asyraf yang cedera di bahagian dagu ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

KUALA KRAI – Seorang anak kepada mangsa kemalangan maut di jalan Kuala Krai-Gua Musang di sini tengah malam tadi sempat berusaha membantu mengeluarkan ibu dan bapanya, namun tidak berjaya.

Tuan Muhammad Adam Asyraf Tuan Arzue,16, yang juga salah seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger berkata, ketika kejadian, dia bersama nenek, Salsiah Man, 60,
serta ibu, Noor Hayati Harun, 40-an dan bapanya, Tuan Arzue Daud, 50-an, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chiku 3, Gua Musang selepas menziarahi ibu saudara di Rantau Panjang.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan pulang, dia tertidur di bahagian penumpang belakang dan hanya tersedar selepas berlaku kemalangan.

“Saya tidak tahu bagaimana kemalangan berlaku kerana ketika itu saya sedang tidur dan bila tersedar, saya melihat ibu tersepit di bahagian penumpang hadapan dan nenek tersepit di bahagian penumpang belakang manakala ayah tidak sedarkan diri di bahagian pemandu.

“Waktu itu, saya telah berusaha membantu mengeluarkan ibu dan ayah namun tidak berjaya kerana mereka berada dalam keadaan tersepit,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.

Tuan Muhammad Adam Asyraf yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dalam kejadian tersebut, ibunya disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala neneknya meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Katanya, kedua-dua arwah ibu dan neneknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paloh, Gua Musang.

“Dalam kemalangan ini, ayah mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut manakala saya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian dagu serta kaki,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online hari ini, melaporkan empat maut manakala empat lagi parah selepas dua buah trak pikap bertembung dalam kemalangan di Kilometer 78 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Bukit Ah Kim di sini tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkait kemalangan itu pada pukul 12.36 tengah malam.

Menurutnya, seramai 17 anggota bersama tiga buah jentera dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI