fbpx

Gadis hilang hantar pulang kereta depan dewan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA Proton Saga yang dibawa oleh Nur Hairani Husna ditemui oleh orang awam di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Kerang, di Pontian, Johor, awal pagi hari ini.

PONTIAN – Terkesan dengan sebaran kehilangan dirinya melalui media sosial, Nur Hairani Husna Chairil Yazid memulangkan kereta yang dipandu ketika meninggalkan rumahnya pada waktu subuh Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kereta Proton Saga berwarna ungu ditemui oleh orang awam di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Kerang di sini.

Katanya, kereta berkenaan disedari berada sekitar kawasan itu antara pukul 3 hingga 5 pagi hari ini, namun kereta tersebut didapati kosong tanpa Nur Hairani Husna.

“Namun Orang Hilang (OH) belum ditemui dan tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Nur Hairani Husna Chairil Yazid, 19, pelajar Kolej Komuniti Johor Bahru telah keluar meninggalkan rumah keluarganya di Lorong Haji Salim, Telok Kerang kerana enggan menyambung pelajaran.

Bapa gadis ini, Chairil Yazid Mohamad telah membuat laporan polis di Balai Polis Permas mengenai kehilangan anaknya pada 1.45 petang, Khamis lalu.

Sementara itu, Chairil Yazid Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dari pihak polis mengenai penemuan kereta Proton Saga yang dibawa oleh anaknya pagi ini.

Menurut Chairil, dia menjangka anaknya berada di beberapa lokasi seperti Taman Adda Height, Taman Mount Austin dan Bandar Dato Onn, Johor Bahru seperti dimaklumkan oleh rakan-rakannya.

“Bagaimananya anaknya telah menghalang panggilan masuk dari rakan-rakannya setelah mereka cuba membantu untuk mengesan dimana Nur Hairani Husna berada ketika ini.

Tambah Chairil Yazid, Nur Hairani Husna dipercayai membawa wang tunai kira-kira RM300 milik ibunya ketika keluar dari rumah serta beberapa lagi yang diambil di dalam keretanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai orang hilang ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Shahibul Hamdi, Timbalan Ketua Balai Polis Permas di talian 018-2714199 atau hotline IPD Pontian di talian 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI