MOSCOW – Sebuah perkampungan petani di wilayah Sakha, Rusia menghargai lembu peliharaan dengan mengadakan pertandingan ratu cantik untuk haiwan tersebut.
Menurut portal Daily Star kelmarin, acara tahunan itu diadakan buat kali kedua di kampung Tyolyoy yang terkenal dengan hasil tenusu.
Kali ini, pertandingan itu berlangsung secara online bagi mematuhi peraturan kerajaan untuk mengekang penularan wabak koronavirus.
Namun, ia tidak menghalang pemilik-pemilik lembu daripada menyolek dan menghias haiwan ternakan mereka untuk diadili oleh panel juri.
Penduduk mengambil serius pertandingan tersebut dengan sebilangan mereka mengenakan solekan tebal pada lembu masing-masing, malah ada juga yang memakaikan topi putih pada lembu seperti yang pernah digayakan bintang legenda Hollywood, Audrey Hepburn.
Ada juga penduduk mengenakan perhiasan barang kemas pada leher dan kepala lembu dengan harapan terpilih sebagai pemenang.
Pada pertandingan ratu cantik lembu tahun ini, panel juri telah memilih sepasang lembu kembar diberi nama Ootoy dan Tootoy sebagai juara.
Dua ekor lembu itu dipakaikan kostum pelaut yang comel oleh pemiliknya.
Ketua kampung Sakha, Igor Nikolaev berkata, pertandingan ratu cantik lembu tahun ini sedikit istimewa kerana mengikut kalendar Cina, tahun depan adalah tahun lembu.
“Kemenangan Ooty dan Tooty adalah petanda baik sempena kedatangan tahun lembu pada 2021,” katanya kepada akhbar tempatan, SakhaDay. – Agensi