KUALA LUMPUR – Nama terpalit dengan kekasih gelap penyanyi Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine, pelakon Meerqeen akui pernah mengenali wanita itu tidak lebih sebagai seorang peminat.
Meerqeen atau nama lengkapnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 23, bagaimanapun menegaskan bahawa Sarah bukan sahabatnya memandangkan wanita itu mengenali ramai rakan industri lain.
“Saya rasa saya kenal dia dan kami pernah berjumpa untuk bergambar. Dia adalah peminat saya sahaja.
“Dia bukan kawan. Saya boleh katakan sebab dia kata dia kenal semua artis, jadi dia adalah peminat,” katanya semasa sidang akhbar drama bersiri Astro Original berjudul Framed semalam.
Menyedari setiap spekulasi timbul pasti membabitkan namanya, Meerqeen enggan ambil peduli dan mahu fokuskan kepada kerjaya yang sedang meningkat naik.
“Semua yang buruk dalam industri pasti akan terpalit nama saya. Kadang-kadang saya kena lari daripada semua ini.
“Apa yang penting, saya perlu fokus kepada karier saya dan nama saya.
“Kecewa memang kecewa sebab saya seorang manusia yang ada perasaan. Saya bukan robot,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, seorang pengguna laman aplikasi X mendakwa Sarah juga mempunyai hubungai dengan Meerqeen.
Bagaimanapun, pengguna terbabit tidak menjelaskan secara terperinci mengenai status hubungan mereka.
Minggu lalu, Sarah mendedahkan dirinya sebagai kekasih gelap Aliff Aziz sejak Januari 2024.
Dia memberanikan diri mendedahkan hubungannya selepas melihat Aliff teruk dikecam netizen akibat ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies. -KOSMO! ONLINE