KUALA KRAI – Tiga maut manakala lima lagi parah selepas dua buah trak pikap bertembung dalam kemalangan di jalan Kuala Krai-Gua Musang di sini tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkait kemalangan itu pada pukul 12.36 tengah malam.
Menurutnya, seramai 17 anggota bersama tiga buah jentera dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
“Sejurus tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati dua buah trak pikap telah bertembung. Pemeriksaan mendapati terdapat mangsa yang tersepit dan anggota bertugas telah membawa keluar kesemua mangsa yang terlibat.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga maut dan lima cedera parah. Kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra,” katanya. – KOSMO! ONLINE