SEPANG- Setelah lebih setahun ‘sepi’, Kemboja sekali lagi kembali menjadi pusat sindiket jenayah penipuan atau ‘scam’ yang membabitkan mangsa pemerdagangan manusia.
Perkara itu didedahkan oleh aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Syafiq Sazali selepas ada beberapa mangsa berjaya diselamatkan dari sana.
“Saya jangka dalam masa dua atau tiga bulan lagi, Kemboja akan ganti Myanmar pula yang kini bergolak serius ekoran konflik bersenjata semakin tegang,” katanya ketika ditemui selepas menyambut lima mangsa jenayah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini awal pagi tadi.
Mereka terdiri dua mangsa yang diselamatkan dari Myanmar dan Laos serta seorang dari Kemboja dengan kesemuanya adalah lelaki berusia bawah 30 tahun.
Mengulas lanjut, Azirul Syafiq berkata, berdasarkan maklumat diterima oleh MHO, banyak pusat sindiket itu ditutup antaranya di KK Garden yang terkenal dengan kegiatan tersebut.
“Mereka sudah berpindah secara senyap dan berperingkat menuju terus ke Laos sebelum memasuki Kemboja menerusi pelbagai jalan darat ‘rahsia’ di sekitar Thailand,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE