PETALING JAYA – Berderai air mata seorang guru sebuah sekolah menengah apabila mendapati permohonannya untuk ditukarkan ke Marang, Terengganu selepas 13 tahun mengajar di Pontian, Johor gagal sebaik membuat semakan di laman web Sistem Pertukaran Guru (e-GTukar)kelmarin.
Guru wanita yang ingin dikenali sebagai Cikgu Sakura, 30-an, memberitahu, dia sudah membuat 24 permohonan pertukaran untuk pulang berkhidmat di kampung halamannya di Marang, namun nampaknya belum ada rezeki diluluskan.
Katanya, yang sudah berkhidmat selama 13 tahun di Pontian berkata, walaupun dia masih bujang, namun dia bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapanya yang sakit di kampung.
“Alangkah sedihnya saya apabila semakan di laman web eGTukar memaklumkan permohonan saya kali ke-24 tidak diluluskan.
“Saya ingin mengajar di Marang disebabkan masalah kesihatan kedua-dua ibu bapa yang kini tinggal berdua kerana kesemua adik-beradik saya tinggal di luar Terengganu dan sudah berkeluarga,” katanya kepada Kosmo!.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan keputusan e-GTukar sudah boleh disemak mulai malam semalam.
Perkara itu disahkan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Radzi Jidin menerusi laman Facebooknya.
Menurut Cikgu Sakura, dia percaya salah satu sebab permohonannya ditolak ialah disebabkan dia masih bujang.
Tambah anak bongsu daripada empat beradik itu, selain masalah kesihatan ibu bapanya, dia juga menghidap penyakit slip disc selepas terlibat dengan kemalangan sewaktu bertugas pada tahun 2009.
“Saya mempunyai surat doktor pakar dari kerajaan dan swasta, namun permohonan saya untuk tukar masih juga belum diluluskan,” katanya.
Ujar Cikgu Sakura, demi orang tuanya dia gigih berulang-alik dari Pontian ke Marang setiap minggu walaupun jaraknya mencecah 510 kilometer sehala.
“Ibu saya ada sakit kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi. Oleh itu, saya terpaksa berulang alik hampir enam jam perjalanan setiap minggu untuk melawat mereka,” katanya.
Nasib sama turut menimpa seorang lagi guru wanita yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Hulu Selangor yang hanya dikenali sebagai Maisara, 32.
Ibu dua anak itu memaklumkan, hampir setiap tahun dia memohon untuk pulang berkhidmat Kelantan kerana suaminya menetap dan bekerja di sana.
“Sejak ditugaskan di negeri ini pada tahun 2014, hampir setiap tahun saya mohon untuk berpindah kerana suami terpaksa menjaga ibunya yang lumpuh serta sibuk menguruskan perniagaan keluarganya di sana (Kelantan) kerana dia anak tunggal.
“Sejak ada dua orang anak, susah saya hendak balik dan suami pula jarang ke sini kerana perlu menjaga ibunya,” katanya yang berharap agar permohonannya diluluskan pada masa akan datang.