Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Polis menahan tiga lelaki disyaki pengedar dadah di Jalan Lintas Khidmat, di sini, petang tadi, selepas mengejar kenderaan dinaiki semua suspek yang dipandu secara berbahaya.
Situasi cemas berlaku lebih 30 minit itu menyaksikan empat kenderaan pelbagai guna (MPV) peronda polis mengejar sebuah kereta Proton Iswara dinaiki tiga individu berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, semua suspek berusia 21 hingga 44 tahun serta memiliki belasan rekod jenayah itu mula dikejar di Jalan Keleto, Inanam, sebelum melalui beberapa jalan utama termasuklah Jalan Kingfisher dan jalan berdekatan Yayasan Sabah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kereta Proton Iswara terbabit dipandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain di setiap jalan yang dilalui suspek.
“Kita berjaya menahan semua suspek apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas.
“Tiga suspek ini cuba melarikan diri selain bertindak ganas ke atas anggota polis bertugas.
“Bagaimanapun, kita berjaya menangkap mereka selepas itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Dalam pada itu, Habibi menyatakan hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa paket dadah di dalam kenderaan digunakan suspek.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuklah berkaitan dadah, pecah rumah dan kegiatan samun.
“Ketiga-tiga suspek adalah warga tempatan berasal daripada Kudat, Nabawan dan Sandakan selain masing-masing memiliki 16, lapan serta tiga kes jenayah.”Siasatan awal turut mendapati semua suspek masing-masing mempunyai 16, lapan dan tiga kes jenayah.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya. – K! ONLINE