KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara dilihat mempunyai peluang cerah untuk melangkah ke peringkat suku akhir lebih awal pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw selepas berada laluan selamat menjelang Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur 18 hingga 26 Mei ini nanti.
Pada undian yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) sebentar tadi, Malaysia yang menjadi tuan rumah diberikan hak untuk memilih kumpulan dalam acara double dan berpasukan sekali gus mengelak berdepan Thailand di peringkat lebih awal.
Dalam undian double, peluang Malaysia untuk melepasi pusingan awal turut dilihat lebih terjamin apabila mereka memilih berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei manakala dalam acara berpasukan, Malaysia memutuskan berada bersama Jepun dan Brunei di Kumpulan C.
Sementara itu, dalam acara regu, Malaysia yang muncul naib juara Piala Dunia di Korea Selatan pada 2022 diletakkan sebagai pilihan utama Kumpulan B, akan berdepan China dan Brunei.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, dia berharap Malaysia mampu melangkah ke pentas final dalam ketiga-tiga acara dan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri sebagai kelebihan utama melangkah peringkat lebih jauh.
“Mengenai peluang kita selamat atau tidak, bila sudah dalam kejohanan apatah lagi namanya juga Piala Dunia, peluang itu semua ada tetapi untuk pasukan negara, Insya-Allah pasukan negara boleh melakukan terbaik.
“Harapan saya dan juga peminat negara, sudah pasti yang penting kita mahu ke final sebab kita sebagai tuan rumah. Kita akan cuba sedaya upaya untuk mencapai kejayan paling maksimum di pentas berprestij ini,” katanya.