PETALING JAYA – Legacy Credit Sdn. Bhd. (Legacy Credit) sebuah entiti yang diiktiraf dalam sektor perkhidmatan kewangan, telah melabur sehingga AS$2.5 juta (RM11.92 juta) dalam VCI Global Terhad (VCI Global).
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Legacy Credit, Nelson Goh berkata, pelaburan untuk menambah ekuiti tersebut dilaksanakan melalui penempatan persendirian dalam VCI Global.
Menurut beliau, langkah tersebut telah menjadikan Legacy Credit sebagai pemegang saham yang besar dalam VCI Global dan ia mencerminkan komitmen strategik syarikat untuk meningkatkan penyelesaian kewangan dan mengembangkan pengaruhnya di seluruh rantau ASEAN.
“Pelaburan penting kami dalam VCI Global adalah lebih daripada usaha kewangan dan ia adalah pakatan strategik.
“Melalui langkah ini juga, kami menyasarkan untuk menggabungkan keupayaan VCI Global dengan pendekatan inovatif kami untuk membuka laluan baharu bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN kepada platform global seperti Nasdaq,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
VCI Global terkenal dengan kepakarannya dalam bidang kewangan korporat, mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam usaha memberi kemudahan kepada PKS disenaraikan di Nasdaq.
Ia juga penting bagi syarikat untuk menyasarkan untuk meneroka pasaran antarabangsa.
Goh memaklumkan, perkongsian ini dijangka memanfaatkan rangkaian kewangan Legacy Credit dengan kehebatan teknikal VCI Global untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan inovasi yang besar.
Selain itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif VCI Global, Datuk Victor Hoo menerangkan, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan Legacy Credit sebagai pelabur yang dihargai.
“Keyakinan syarikat terhadap VCI Global menggariskan kebolehpercayaan dan potensi pelaburan kami.
“Pelaburan Legacy Credit akan meningkatkan perniagaan kami, mempercepatkan pertumbuhan trajektori dan memacu nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami.
“Ini menunjukkan komitmen kami untuk pertumbuhan syarikat selanjutnya,” jelas beliau.
Pelaburan strategik ini menandakan kejayaan bagi Credit Legacy menonjolkan komitmennya meningkatkan portfolio perkhidmatan kewangannya.
Melalui kerjasama ini, Legacy Credit menyasarkan untuk meneruskan visinya bagi menyampaikan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan perniagaan berkembang di ASEAN. -KOSMO! ONLINE