PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan kelak akan menjadi sistem saraan antara yang terbaik pernah diperkenalkan oleh kerajaan.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri berkata, sistem saraan baharu itu juga akan membabitkan implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited untuk memberikan sistem saraan yang adil kepada penjawat awam di semua peringkat.
“Sistem saraan ini adalah yang terbaik yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan dan implikasi kewangannya juga tinggi dan tertinggi pernah kita lakukan sebelum ini.
“Ini bukan masalah (implikasi kewangan) saudara. Ini masalah menteri kewangan. Cuma saya nak saudara (penjawat awam) tahu bahawa saya tidak anggap ini (SSPA) perkara ringan dan enteng,” katanya ketika berucap pada sesi townhall Persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTTD) bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.
Katanya, dalam siri perbincangan dengan pegawai tertinggi kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, beliau sentiasa tekankan bahawa sistem itu akan meliputi semua peringkat penjawat awam.
Anwar berkata, beliau tidak mahu satu jabatan atau kelompok yang merasa tertinggal dan tersisih dalam sistem saraan baharu itu.
“Kita nak ambil sistem persaraan ini, secara menyeluruh dan sebagai gantinya, saya minta penjawat awam supaya sama melakukan pembaharuan dalam sistem perkhidmatan awam,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau turut mengingatkan kepada kelompok-kelompok di luar sana termasuk pembangkang supaya tidak memainkan isu ini.
Jelas Anwar lagi, perincian awal sistem saraan baharu itu akan diumumkan sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini. – KOSMO! ONLINE