SUNGAI SIPUT – Keluarga mangsa kemalangan, Ahmad Zuhal Norazlan dan Ahmad Marikh Norazlan melantik firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi membela nasib dua beradik itu yang maut dalam nahas pada 5 April lalu.
HWAM merupakan peguam mewakili keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, pelajar yang meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar kenderan pacuan empat roda di Meru, Ipoh pada 15 Disember lalu.
Peguam HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu keputusan pengawai penyiasat berhubung kes kematian Ahmad Zuhal, 17, dan Ahmad Marikh, 13.
“Selepas mendapat keputusan daripada pihak polis, kami akan terus mengeluarkan surat kepada pihak insurans (pihak yang melanggar).
“Kami juga akan teruskan langkah susulan dengan pegawai penyiasat sama ada tindakan akan diambil terhadap pelanggar itu,” katanya selepas melawat keluarga mangsa di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.12 pagi, 5 April lalu, motosikal ditunggang dua beradik itu dipercayai dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang memasuki simpang kanan secara tiba-tiba.
Selang beberapa hari, seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas dua pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua pelajar tersebut.
Tertuduh, Lee Kin Peng, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan. – KOSMO! ONLINE