SHAH ALAM – Penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau antara potret yang bakal dilukis oleh tiga pelukis mural yang tular sebelum ini kerana potret gergasi pemimpin negara.
Pelukis mural, Muhammad Firdaus Nordin, 26, berkata, pemilihan Ebit Lew adalah sebagai menghormati dan menghargai sumbangan diberikan kepada rakyat sepanjang tempoh negara melawan Covid-19.
Katanya, mereka juga masih memikirkan sama ada akan melukis potret-potret yang sama sebelum ini.
“Kami tidak patah semangat untuk melukis dan tema masih sama iaitu sumbangan semasa Covid-19.
“Karya-karya baharu termasuk cadangan potret Ebit Lew juga dipertimbangkan dan kami akan kembali melukis dalam bentuk gergasi pada bulan depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Kosmo! hari ini melaporkan perbuatan vandalisme pada mural gergasi pemimpin negara di Taman Cahaya, Seksyen U12 di sini tidak pernah mematahkan semangat tiga pelukis muda masing-masing adalah Muhammad Firdaus, Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan Abdul Hadi Ramli, 27, untuk terus berkarya.
Muhammad Firdaus turut mengakui, banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak untuk melukis namun masih dalam pertimbangan mereka.
Jelasnya, antara faktor dipertimbangkan adalah memilih kawasan atau dinding lebih tinggi dan mempunyai tahap keselamatan bagi mengelak individu tidak bertanggungjwab menconteng kembali karya mereka.
“Terus-terang masih lagi geram, marah dan terkilan kerana karya yang dihasilkan perlakukan sebegitu. Apa yang lukis adalah ekspresi kami mengenai sumbangan dan bukan berunsur politik,” katanya. – K! ONLINE