fbpx

Piala Asia B-23: Perancangan lemah punca gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD muda negara gagal menepati ramalan apabila pulang tanpa sebarang kemenangan dari aksi Piala Asia B-23 selepas tewas semua tiga perlawanan. - FB FAM

LIGA Malaysia (Liga M) yang berehat panjang tidak wajar dijadikan ‘kambing hitam’ kegagalan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang tewas kesemua tiga perlawanan Kumpulan D Piala Asia B-23 kali ini.

Kegagalan kali ini seakan ‘menelanjangkan’ kelemahan dalam aspek perancangan buat pasukan B-23 sekaligus memberikan kesan mendalam kepada pemain dan imej negara yang kini semakin dipandang ekoran peningkatan prestasi skuad senior.

Bekas pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof, berkata perubahan jadual liga domestik itu wajar dimanfaatkan untuk mengumpulkan pemain ke latihan pusat lebih lama, merangka persiapan rapi dan mengadakan persahabatan menentang pasukan lebih berkualiti.

“Nampak macam tidak ada persiapan yang bagus, masa kelayakan jurulatih lain dan ketika pertandingan sebenar jurulatih lain. Mungkin juga pemain sedang dalam proses untuk memahami cara yang diterapkan oleh Juan Torres Garrido.

“Selepas kita layak, patutnya kekalkan jurulatih, selepas itu kita aturkan persiapan lebih rapi dan lawan pasukan berkualiti. Sebelum pertandingan pun kita tidak persiapkan diri dengan menentang lawan lebih baik dan ia jelas berbeza dengan Uzbekistan yang ada menentang Sepanyol (B-21).

“Memang liga belum mula, tetapi rugi sebenarnya kita tidak mulakan persiapan lebih lama. Kita kumpulkan pemain, selepas itu kita laburkan sedikit modal untuk pergilah ke mana-mana destinasi dan cuba aturkan persahabatan berkualiti,” katanya.

Bagaimanapun, Nizaruddin juga mahu pemain belajar menyalahkan diri sendiri kerana tidak memanfaatkan pertandingan ini untuk meningkatkan ‘saham’ masing-masing.

“Zaman saya tidak ada pertandingan ini dan apabila pemain tidak ambil peluang ini, mereka juga boleh salahkan diri sendiri. Kalau tengok komen peminat memang ditujukan kepada pemain kerana mereka bukan bermain dengan kelab biasa-biasa.

“Namun, tidak adil untuk kita salahkan seluruh pasukan kerana masih ada beberapa pemain yang bagi saya agak menyerlah seperti Haqimi Azim Rosli, Nooa Laine dan Azim Al Amin. Patutnya di pertandingan besar seperti inilah mereka pamer aksi maksimum untuk ‘jual diri’ kerana sekarang orang luar mula pandang Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI