JIKA gagal, jangan pernah mengalah dan teruskan mencari peluang untuk memastikan nama terpahat dalam ingatan semua orang. Itulah prinsip yang dipegang Afieq Shazwan sejak mula menceburi industri seni tanah air seawal usia 11 tahun.
Biarpun sudah menyertai pelbagai program realiti nyanyian, pemilik nama penuh Muhammad Shafieq Shazwan Zamros tidak pernah malu untuk menempatkan diri dalam apa sahaja bentuk pertandingan yang dianjurkan stesen televisyen.
Setiap kali wajahnya terpampang dalam mana-mana program realiti, jejaka berusia 23 tahun itu mengakui setiap pertandingan yang disertai mempunyai cabaran berbeza.
Antara program realiti yang pernah disertainya ialah Idola Kecil sebelum membabitkan diri dalam program Big Stage musim pertama.
Vokal Mania
Terbaharu, anak kelahiran Klang, Selangor itu sekali lagi mempertaruhkan dirinya sebagai rookie dalam program Vokal Mania terbitan TV3.
Tidak kisah dilabel sebagai artis realiti televisyen, sebaliknya Afieq bersyukur kerana mempunyai pelbagai platform untuk menonjolkan bakat yang ada dalam dirinya.
“Pada awalnya saya tidak tahu langsung bahawa nama saya tersenarai sebagai rookie dan hati berbelah bahagi ketika ditanya sama ada ingin disertai atau tidak.
“Bila sudah sertai, saya terus ubah niat dan tekad untuk jadikan pertandingan ini sebagai platform penambahbaikan kemampuan diri, khususnya dalam bidang nyanyian,” kongsi kepada HibGlam baru-baru ini.
Mengakui minat terhadap seni persembahan sangat mendalam, Afieq mahu jadikan peluang tersebut untuk mengukur sejauh mana prestasinya sebagai seorang penyanyi.
“Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan, banyak acara hiburan terpaksa ditangguh atau dibatalkan, jadi peluang untuk saya membuat persembahan pentas sangat
tipis.
“Disebabkan saya sangat suka beraksi di pentas, inilah masanya. Saya akan buat sehabis baik untuk pertandingan ini,” katanya lagi.
Biarpun sudah beberapa kali menyertai program realiti nyanyian, Afieq menjelaskan setiap pertandingan mempunyai cabaran yang berbeza.
Ujarnya, tekanan sepanjang menyertai Vokal Mania juga lebih tinggi berbanding program terdahulu kerana ramai yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap dirinya.
“Setiap pertandingan mempunyai cabaran yang berbeza. Contohnya Vokal Mania. Ada dalam kalangan peserta bukan penyanyi dan tidak pernah pun menyanyi di atas pentas besar.
“Biarpun begitu, tidak pernah pun terlintas dalam hati untuk memandang rendah kemampuan mereka sebab ada yang lebih hebat daripada saya.
“Cabaran saya kali ini lebih besar dan saya masih tercari-cari di mana kekuatan dan kelainan saya berbanding peserta lain,” tuturnya.
Menurut pelantun lagu Lelaki Di Telefon itu, dia juga menghadiri kelas vokal sebagai persediaan untuk pertandingan tersebut.
“Saya sudah mula masuk kelas vokal untuk belajar teknik nyanyian dengan betul dan sudah bersedia untuk dikritik juri.
“Jika persembahan dikatakan tidak bagus, saya terbuka dan bersedia untuk dikritik,” ujarnya.
Gerak Lu
Menyentuh tentang perkembangan terbaharu, Afieq juga baharu saja melancarkan single baharunya, berjudul Gerak Lu pada 27 November. Single berkenaan kini beredar di semua platform digital.
“Gerak Lu merupakan hasil ciptaan DJ Fuzz, Aziquebeats dan Faezal. Selepas Lelaki Di Telefon, ini single kedua saya bergandingan dengan penyanyi rap Malik Abdullah.
“Sambutan daripada peminat sangat baik walaupun tidak sehebat Lelaki Di Telefon.
“Sehingga hari ini, Gerak Lu sudah capai lebih 90,000 tontonan, itu sudah cukup menggembirakan hati,” katanya.
Dia juga tidak menyangka ramai yang memberi pujian dan kemunculannya semakin mendapat perhatian selepas meluncurkan lagu rancak berbanding genre balada.
Respon sebegitu bagaimanapun menghentikan langkah Afieq menghasilkan lagu genre balada pada masa depan.
“Alhamdulillah, Lelaki di Telefon mendapat respons positif, mencecah hampir lapan juta tontonan menerusi YouTube.
“Saya juga pernah muncul dengan dua single balada berjudul Seandainya dan Darjat tetapi kedua-duanya kurang mendapat sambutan. Tidak mengapa, mungkin rezeki saya lebih kepada lagu-lagu rancak,” ujarnya seraya menutup perbualan.