fbpx

K2

Ternakan kelah Kampung Lepan Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POK WI menunjukkan ikan kelah yang diternaknya.

IKAN kelah yang terkenal dengan jolokan Raja Sungai mempunyai nilai komersial tinggi apabila harganya boleh mencecah ribuan ringgit seekor.

Usaha penternakan ikan kelah menuntut para pengusahanya memberi komitmen tinggi dan penjagaan rapi.

Salah satu kawasan yang boleh dianggap sinonim dengan ternakan kelah ialah Kampung Lepan Jaya di Gua Musang, Kelantan sehingga tidak salah andai dikatakan populariti kampung itu melonjak kerana kejayaan ternakan kelah.

Kampung Lepan Jaya merupakan sebuah kampung agak kecil yang mempunyai banyak gua.

Seorang penternak di situ misalnya membuat kelainan apabila membela ikan kelah di dalam salah satu gua batu kapur di kampung itu sehingga membuahkan kejayaan.

SEBANYAK 5,000 ekor ikan kelah selain ikan-ikan lain diternak di dalam dan kaki gua batu kapur yang terletak di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang.

Idea unik berkenaan kini menjadi sumber pendapatan kepadanya apabila kawasan itu menjadi tarikan orang ramai untuk melihat spesies ikan kelah yang berada di kawasan gua.

Bermula dengan hobi, Mohd. Saiful Basri Mat Yaakob, 44, yang tinggal di kampung itu telah memelihara ikan kelah sejak 10 tahun lalu.

Proses mengindahkan kawasan gua batu kapur yang diberi nama Gua Kambing itu membabitkan kos hampir RM100,000.

Mohd. Saiful Basri berjaya menternak 5,000 ekor ikan kelah di dalam dan kaki gua yang berada lingkungan kawasan tanah miliknya seluas 0.8 hektar.

Menurut Mohd. Saiful Basri, usaha membina tempat pembiakan ikan kelah itu adalah sesuatu perkara yang mencabar.

Katanya, selain minat menternak ikan, usaha itu dilakukan bagi mengelak populasi ikan kelah pupus.

MOHD. SAIFUL BASRI (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan ikan kelah yang diternaknya di kaki Gua Kambing, Kampung Lepan Jaya.

“Bagi menambahkan lagi bilangan ikan kelah, saya turut membeli anak ikan berkenaan daripada Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman daerah atau jajahan ini.

“Saya turut menternak 4,000 ikan jenis lain termasuk tilapia dan patin kerana permintaan tinggi daripada pembeli tempatan serta luar daerah ini.

“Saya gembira apabila ikan kelah yang diternak sejak lapan tahun lalu telah mencapai berat antara lima hingga sembilan kilogram (kg) seekor,” katanya.

Mohd. Saiful Basri berkata, walaupun ada permintaan harga yang tinggi terhadap ikan kelahnya tetapi dia tidak sanggup menjual kesemuanya kerana ingin menjadikannya sebagai tarikan agropelancongan di kawasannya.

Katanya, kebanyakan pengunjung berminat melihat ikan kelah bersaiz besar kerana mereka sukar melihatnya sejak kebelakangan ini termasuklah di kawasan sungai.

Sementara itu, seorang lagi penternak di kampung tersebut, Mat Nawi Husin, 61, atau mesra dengan panggilan Pok Wi boleh dianggap sebagai penternak ikan terbesar di Gua Musang dan begitu dikenali sebagai penternak kelah paling berjaya di daerah ini.

Pok Wi nekad meninggalkan kerjayanya sebagai kakitangan kerajaan untuk mengusahakan ternakan ikan.

POK WI dikellilingi ikan-ikan kelah yang terdapat di dalam salah satu daripada lapan kolam besar yang diusahakannya.

Mengusahakan ternakan ikan sejak 30 tahun lalu, kini Pok Wi mempunyai ternakan hampir 100,000 ekor spesies ikan air tawar di lapan buah kolam.

Jumlah itu terdiri daripada 6,500 ekor ikan kelah, tilapia (45,000 ekor), patin (40,000 ekor), lampan (3,000 ekor) dan tongsang (2,000 ekor).

Dengan bermodalkan RM5,000, Pok Wi menternak 100 ekor ikan dengan mendapatkan bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Kelantan.

Menurut Pok Wi, ikan kelah mencapai tahap matang selepas empat tahun dan harganya mampu mencecah ribuan ringgit seekor.

Kemahiran diwarisi anak

Katanya, bagi menghasilkan kelah yang berkualiti, ikan itu akan dilepaskan selama tiga bulan di kawasan kolam pembenihan ikan sebelum dipindahkan ke kolam utama.

Seawal usia lapan tahun, anak-anak Pok Wi telah diajar cara-cara memukat, memunggah serta menjaga ikan dengan dibantu isterinya, Siti Zaharah Daud.

“Saya lega apabila anak-anak banyak membantu proses mengambil ikan di dalam kolam sehingga kepada pembungkusan dan penghantaran ikan kepada pelanggan.

“Bagi meningkatkan jualan, saya turut mempromosikannya menerusi laman sosial, Facebook milik anak-anak.

“Selain itu, ramai pelanggan yang berkunjung ke rumah untuk memilih dan membeli ikan,” katanya.

POK WI (kanan) mengusahakan kolam ternakan ikan kelah dengan dibantu oleh ahli keluarganya di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan.

Pok Wi telah menurunkan pengalamannya dalam penternakan ikan air tawar kepada anaknya Ibrahim Mat Nawi, 25, yang sanggup berhenti kerja sebagai pegawai di sebuah bank di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Ibrahim berkata, minatnya terhadap penternakan ikan air tawar semakin membuak-buak apabila berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah.

“Saya berjaya melakukan penetasan ikan kelah dan menerima pujian pelbagai pihak terutamanya Jabatan Perikanan.

“Saya mendapat kemahiran melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah itu selepas mengikuti kursus sebanyak tiga kali di Pusat Latihan Jabatan Perikanan di Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Apabila pulang ke kampung, saya cuba mempratikkan pembelajaran itu dan akhirnya berjaya melakukan pembenihan serta penetasan anak ikan kelah sendiri,” katanya.

Ibrahim yang memiliki Ijazah Perbankan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menukar hobi kepada ternakan ikan kelah kerana yakin masa depannya lebih terjamin.

Katanya, dia hanya bekerja sebagai pegawai bank dalam tempoh setahun setengah sebelum membuat keputusan berhenti walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan-rakan.

“Kos sara hidup tinggi di Kuala Lumpur dan gaji setiap bulan hanya cukup-cukup makan menyebabkan bapa saya memberi nasihat supaya berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi mewarisi perniagaan ternakan ikan kelah yang diusahakan.

“Saya bersyukur kerana mampu menjana pendapatan lebih besar kerana hasil jualan ikan kelah kini ialah RM200 sekilogram,” katanya yang merupakan anak ketiga dari tujuh beradik.

Tambah Ibrahim, dia tidak mempunyai masalah mengambil alih tugas ternakan itu kerana sejak darjah satu lagi dia bersama adik-beradiknya yang lain sudah didedahkan dengan dunia ternakan ikan.

“Boleh dikatakan setiap hari saya ikut bapa ke kolam ikan untuk membersih kolam, memberi makanan dan menangkap ikan untuk dijual.

“Saya juga yakin ikan kelah di kolam akan bertambah selepas ini kerana saya sudah mempunyai lebih banyak kelengkapan bagi proses pembenihan dan penetasan anak ikan kelah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI