GUA MUSANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau perjalanan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sama ada berlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sepanjang kempen berlangsung.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan itu agensi berkenaan akan membuka dan mengaktifkan bilik gerakan di negeri berkenaan dan ibu pejabat.
“Kita memang alu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk membuat laporan kepada SPRM jika wujud unsur-unsur rasuah sepanjang proses berkenaan dalam pelbagai cara sama ada datang ke pejabat, bilik operasi atau melalui aplikasi MACCMobile.
“Pelbagai cara lagi yang ada sekarang ini untuk disalurkan maklumat dan SPRM akan bertindak sekiranya ada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang boleh kita siasat,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Datuk Ariffin Said Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, di sini hari ini.
Azam kemudiannya menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Bangunan Wisma Persekutuan Gua Musang, di sini.
Mengulas lanjut, Azam turut menasihatkan kepada calon dan ejen kempen pilhan raya supaya memahami undang-undang tentang isu rasuah yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1952.
Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 27 April ini dan 11 Mei depan untuk tarikh pengundian.
Kerusi itu diisytiharkan kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE