KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak mengekang sebarang penganjuran program forum, namun meminta pihak universiti untuk menyelidik terlebih dahulu latar belakang setiap penceramah jemputan.
Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud berkata ia bagi mengelakkan imej universiti, kementerian dan negara terjejas akibat memilih penceramah jemputan yang bercanggah dengan polisi negara.
Ujarnya, asas untuk menilai latar belakang atau kecenderungan pandangan seseorang penceramah itu perlu dibuat secara menyeluruh oleh semua pihak.
“Kita bukan mahu mengekang mengadakan forum seminar, tapi apa yang kita mahu adalah supaya pihak universiti menyelidik dahulu siapa penceramah tersebut.
“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Universti Malaya (UM) terjadi kembali dalam universiti lain kerana akan menjejaskan imej ramai pihak.
“Sebab itu pentingnya selidik latar belakang jemputan dahulu. Contohnya, kalau tengok media sosial seseorang pun kita dah boleh tahu kecenderungannya lebih kepada apa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Defense, Security and Sustainability (DSS) 2024, di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, di sini, hari ini.
Tambah Mustapha lagi, tiada istilah kebebasan mengadakan sebarang aktiviti atau forum disekat kerana dunia akademik sememangnya memerlukan percambahan idea.
“Yang penting selidiki betul-betul, siapa tokoh-tokoh yang kita nak jemput itu. Jangan sampai jadi kontroversi bercanggah dengan nilai atau polisi negara yang sedang kita gagaskan sekarang,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan UM menjemput Bruce Gilley yang merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengarahkan UM untuk membatalkan program tersebut dan meminta pihak universiti menyiasat perkara ini serta melaporkan segera butiran lanjut. – KOSMO! ONLINE