fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Mendiang Leftenan T. Sivasutan selamat disemadikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI TLDM melakukan penghormatan terakhir terhadap mendiang Sivasutan di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram, dekat Kampung Serdang di Sitiawan dekat sini hari ini.

LUMUT – Mendiang Leftenan T. Sivasutan, 31, yang terkorban dalam nahas helikopter kelmarin, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Sitiawan, dekat sini, hari ini.

Jasad mendiang dibakar mengikut kepercayaan agama Hindu selepas diberi penghormatan mengikut Istiadat ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Terdahulu, upacara sembahyang mengikut agama Hindu dilakukan di kediamannya di Taman Serdang Jaya, Sitiawan dekat sini, bermula pukul 9 pagi.

Jenazah mendiang yang berada dalam keranda dibaluti Ensign atau panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu kemudian diusung oleh lapan pegawai pasukan itu yang berpakaian istiadat dengan seorang pegawai berada di hadapan sebagai jurupandu.

Seramai 14 pegawai dan anggota pasukan itu yang berpakaian istiadat dan lengkap bersenjata dari Markas Pangkalan Lumut pula melakukan kawalan kehormat sebagai penghormatan kepada mendiang.

Panji pada keranda itu kemudian ditanggalkan dan diserahkan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama R. Harisundar kepada ibu mendiang, R. Parameswari, 60, sebagai simbolik penghargaan pengorbanan mendiang sepanjang berkhidmat dalam pasukan tersebut.

Jenazah kemudian dibawa menaiki kenderaan dari kediamannya itu ke Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram, dekat Kampung Serdang Sitiawan, di sini.

Di pusat krematorium tersebut, pasukan kawalan kehormat sekali lagi melakukan penghormatan terhadap mendiang.

Upacara penghormatan kemudian turut disertai bapa mendiang, M Thanjappan, 61, disusuli dengan upacara menanggalkan pingat dan aksesori perkhidmatan daripada pakaian seragam yang dipakai mendiang, sebelum upacara pembakaran dilakukan.

Pegawai dan anggota TLDM kemudian melakukan tabik hormat ketika jasad mendiang dimasukkan ke dalam relau pembakaran.

Mendiang yang bertugas sebagai juruterbang di Skuadron 502 Pangkalan TLDM Lumut meninggalkan seorang isteri, Dr. S. Harshini, 31, yang dikahwininya kira-kira empat bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI