JOHOR BAHRU – Malaysia bakal melaksanakan penggunaan sistem kod QR untuk pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu sempadan antarabangsa negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, itu antara cadangan jangka masa pendek bagi mengurangkan kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Menurut beliau, antara langkah lain termasuklah mempercepatkan proses pas penggajian daripada 15 hari kepada lima hari oleh JIM dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
“Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mempengerusikan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) bertujuan untuk menambah baik pergerakan rentas sempadan, memperkukuh ekosistem perniagaan dan usaha menarik pelaburan baharu.
“Antara cadangan jangka masa pendek yang dibincangkan bersama adalah melaksanakan penggunaan pelepasan pasport secara kod QR dan mempercepat proses pas penggajian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, pihaknya berharap beberapa inisiatif yang diambil itu akan dapat meningkatkan kualiti pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Tambak Johor merupakan sempadan darat paling sibuk di dunia dengan dianggarkan seramai 350,000 pengembara melaluinya setiap hari. – KOSMO! ONLINE