fbpx

Segera buka pintu untuk atlet beraksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

DUA temasya terbesar dunia dan Asia Tenggara iaitu Sukan Olimpik serta Sukan SEA akan menemui pasukan negara dan kerajaan harus kembali membenarkan sektor sukan kembali beroperasi.

Sudah pasti larangan sebelum ini merencatkan persiapan atlet negara menjalani latihan mahupun pertandingan di luar negara hingga mereka sekadar beraksi secara tertutup tanpa sebarang pertandingan yang kompetitif.

Pada minggu lalu, Majlis O­limpik Malaysia (MOM) mengeluarkan kenyataan dengan menggesa kerajaan membenarkan aktiviti sukan dijalankan bagi membolehkan atlet kembali me­lakukan persediaan bagi meng­hadapi kejohanan yang berlangsung pada tahun hadapan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap kerajaan mempertimbangkan permohonan MOM supaya aktiviti sukan di negara ini kembali dijalankan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann bersetuju dengan cadangan yang diutarakan badan induk sukan itu.

Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan itu memandangkan ia membawa kebaikan kepada pemain sekiranya pertandingan kembali dianjurkan.

“Bagi saya, ia sesuatu yang baik memandangkan sudah lama kita menjalani latihan secara tertutup.

“Kita semua sedar tahun depan jadual sangat padat, jadi kita perlu anjurkan kejohanan bagi memastikan pemain kekal kompetitif. Bagaimanapun, kita akan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut bekas perseorangan lelaki No.1 dunia itu, sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti sukan beroperasi, kejohanan kemungkinan akan dianjurkan tanpa kehadiran penonton.

“Saya tahu sudah tentu kami perlu patuhi SOP yang sangat ketat. Apa yang pasti, jika kejohanan boleh dianjurkan, ia akan berlangsung tanpa kehadiran penonton bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut berpendapat aktiviti sukan di negara ini wajar kembali dijalankan selepas lama menyepi akibat Covid-19.

Timbalan Presiden MHC, Profesor Datuk Dr. S. Shamala me­nyatakan sokongan atas saranan MOM supaya kerajaan membenarkan sektor sukan kembali beroperasi.

Shamala berkata, badan induk sukan hoki negara itu sedia mematuhi SOP yang ketat sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti sukan kembali dijalankan.

Tambah beliau, sukan juga boleh dianggap sebagai sektor ekonomi memandangkan ia turut menjadi salah satu platform menjana pendapatan bagi setiap pemain profesional.

“Bagi saya, aktiviti sukan se­perti Liga Hoki Malaysia (MHL) lebih kurang sama dengan sektor ekonomi kerana boleh dianggap sebagai sumber pendapatan pemain-pemain profesional.

“Memang kami beri penekanan terhadap perkara ini tetapi ia tertakluk pada kelulusan Majlis Keselamatan Negara bagi menganjurkan kejohanan,” jelasnya ketika dihubu­ngi Kosmo!.

Pada masa sama, Shamala mengakui MHC masih kekal de­ngan perancangan asal untuk menganjurkan MHL bermula Januari tahun depan, namun perlu menunggu lampu hijau da­ripada kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI