fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Terkilan tidak dapat tatap wajah Mohd. Shahrizan buat kali terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shahril (baju dan songkok hitam) bersama keranda arwah Mohd. Shahrizan ketika dibawa ke rumah keluarga mereka di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir, malam tadi.

LUMUT – Enam daripada tujuh adik-beradik Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi terkilan tidak dapat menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Mohd. Shahril Mohd. Termizi, 40, berkata, mereka diberitahu oleh pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas bahawa keranda yang membawa jenazah abang sulungnya itu dan dibaluti Ensign pasukan tersebut tidak boleh dibuka.

Beliau yang juga anak kedua daripada tujuh beradik memberitahu, hanya ibu bapa mereka iaitu Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, dan Hasnah Yasim, 67, serta adik bongsu, Nur Syakila, 28, berpeluang menatap wajah Allahyarham ketika membuat pengecaman di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di sini.

Katanya, difahamkan isteri arwah iaitu Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, serta tiga anak iaitu Nurul Shahfiqah, 21; Nurul Shahfizah, 20; dan Muhammad Shahfirul Aizad, 15, turut berpeluang menatap wajah Allahyarham ketika jenazah berada di Ipoh.

“Kami rasa terkilan apabila tidak dapat menatap wajah Along (Mohd. Shahrizan) kerana keranda sudah ‘seal’ daripada hospital.

“Begitupun, kami memahami keadaan itu dan dapat menyentuh keranda pun sudah memadai sebagai tanda perpisahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir, malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di rumah keluarga mereka itu pada pukul 7.40 malam dan ahli keluarga diberi peluang kira-kira 40 minit untuk menziarahi dan mendoakan arwah, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir malam tadi.

Menurut Mohd. Shahril, arwah begitu rapat dan sentiasa mengambil berat semua adiknya dengan kali terakhir berjumpa ialah pada sambutan Aidilfitri lalu.

“Kami semua tujuh beradik dapat berkumpul menyambut Hari Raya bersama-sama pada 1 Syawal lalu.

“Ini suasana yang akan dikenang sampai bila-bila kerana tidak pernah kami dapat berkumpul bersama seperti itu kerana kekangan kerjaya masing-masing.

“Tidak sangka gambar beraya bersama menjadi kenangan terakhir bagi kami semua,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI