fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Semua anak mangsa diberi RM1,000 akaun SSPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMBRY (dua dari kiri) berbual dengan ahli keluarga Allahyarham Mohd. Shahrizan ketika menziarahi mereka di Lekir, malam ini.

LUMUT – Semua anak mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima RM1,000 sebagai simpanan permulaan dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), secara percuma.

Pada masa sama, mana-mana anak mangsa yang belajar di universiti, akan dikecualikan membayar yuran sehingga akhir pengajian mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata keputusan itu dibuat sebagai usaha mengurangkan beban keluarga mangsa dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, keputusan itu sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini, data yang kita kumpulkan menunjukkan ada 21 anak mangsa yang akan diberi akaun SSPN secara percuma.

“Kita akan kemas kini bilangan sebenar anak mangsa yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi di Batu 10 Lekir, malam ini.

Menurutnya, tabungan seperti itu akan memudahkan mereka untuk menerima bantuan lain pada masa depan.

Beliau percaya di peringkat Kementerian Pertahanan mungkin ada perancangan untuk anak-anak mangsa, jadi dengan adanya simpanan SSPN akan memudahkan bantuan disumbangkan termasuk oleh agensi lain.

Bagi pengecualian yuran pendidikan di universiti pula, Zambry menjelaskan setakat ini hanya seorang sahaja anak mangsa iaitu Nurul Shahfiqah Mohd. Shahrizan, 21, yang belajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan mendapatkan maklum balas daripada pihak kerajaan bagaimana mahu membantu mereka melanjutkan pengajian pada masa depan.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah dalam melanjutkan pengajian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI