fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Sock Tao tekad teruskan legasi Kee Hiong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sock Tao diumum sebagai calon Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan sempena PRK Kuala Kubu Baharu. Foto M. FIRDAUS M. JOHARI KOSMO!

HULU SELANGOR – Calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bertekad untuk meneruskan legasi penyandangnya, Lee Kee Hiong.

Sock Tao, yang merupakan anak jati Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada pimpinan parti atas kepercayaan menamakan beliau sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

“Mendiang (Kee Hiong) merupakan mentor kepada ramai pemuda DAP. Prinsip kita untuk membina negara yang lebih maju, demokratik dan saksama kepada semua.

“Jika diberi peluang, saya ingin meneruskan legasi mendiang untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada warga Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon Perpaduan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sock Tao berkata, beliau yakin dengan pengalaman dimiliki mampu membawa pembangunan yang positif di Kuala Kubu Baharu.

“Walaupun saya baru 31 tahun, saya sudah menceburi dalam bidang politik selama enam tahun. Saya percaya dengan pengalaman ini, ia dapat memberi inspirasi,” ujarnya.

Terdahulu, Sock Tao diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai calon Kerajaan Perpaduan menerusi PH.

Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI