fbpx

Terima kasih Leona ‘ketiakkan’ lagu saya – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aisha (kiri) berterima kasih kepada Leona kerana memparodikan lagu rayanya, Ketipak Ketipung Raya sehingga meraih jutaan tontonan di YouTube.

KUALA LUMPUR –  Gara-gara lagu Ketipak Ketipung Raya diparodikan pempengaruh, Kasih Iris Leona, lagu ciptaan penyanyi Aisha Retno itu tular dan berjaya memperoleh hampir 5 juta tontonan dalam YouTube.

Menurut Aisha, dia sangat berterima kasih dengan Leona yang sudi ‘menyanyikan’ lagu raya pertamanya tersebut sehingga menjadi bualan ramai.

“Sebenarnya saya berterima kasih kepada Leona, kerana selepas video yang dihasilkannya, jumlah tontonan video lagu Ketipak Ketipung Raya mencanak naik.

“Video muzik di YouTube meningkat daripada 3.5 juta kepada hampir 5 juta tontonan sekarang. Pada saya, peningkatan itu agak pantas.

“Saya membuat video balas kepada Leona di TikTok. Bayangkan, video itu berjaya memperoleh 7 juta tontonan dalam masa sehari.

“Mungkin orang suka Leona kerana personalitinya yang kelakar. Apa yang saya boleh simpulkan, netizen mahukan sesuatu yang santai,” kata Aisha pada majlis sidang media program The Hardest Singing Show di sini semalam.

Sebagai pencipta lagu bersama Aziz Harun, penyanyi berdarah Malaysia-Indonesia itu juga menafikan video balas berkenaan dimuat naik kerana tersinggung dengan perbuatan Leona.

“Mungkin ada orang yang salah sangka dan menganggap video yang saya buat untuk Leona kelihatan seperti melenting.

“Sebenarnya itu tidak benar, malah saya sangat menyukai parodi itu.

“Sama juga selepas persembahan saya di Anugerah Juara Lagu baru-baru ini, ramai yang buat parodi dan sangka saya akan terkesan.

“Sebaliknya, saya sangat gembira sebab parodi yang dibuat memberi impak besar khususnya dari aspek pemasaran. Kalau ada sesiapa lagi hendak buat parodi, silakan,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai lagu Ketipak Ketipung Raya yang telah mencipta fenomena semasa sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini, Aisha sendiri tidak menyangka lagunya menjadi tular sehingga ke negara jiran.

“Saya dan Aziz pernah muat naik petikan lagu ini tahun lalu. Jadi ada sedikit kerisauan sekiranya orang sudah lupa. Alhamdulillah, tak sangka lagu ini boleh diterima baik bukan hanya di Malaysia, tetapi di Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Ramai artis popular yang turut gunakan lagu ini dalam video mereka antaranya Mira Filzah, Dian Sastrowardoyo dan Luna Maya.

“Saya bersyukur kerana kewujudan media sosial membantu lagu ini untuk lebih dikenali. Jadi, saya harus bijak menggunakannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI