PETALING JAYA – Sebaik melangkah ke dalam hotel Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, keceriaan, reka bentuk moden dengan sofa dan pelbagai perabot berwarna terang telah memberi satu suntikan aura baharu kepada pengunjung hotel berkenaan.
Rekaan dalamannya di ruang lobi seolah-olah berada di satu sudut perpustakaan memberi gambaran bahawa premis tersebut terletak berdekatan dengan beberapa pusat pengajian tinggi utama di kawasan Glenmarie, Shah Alam itu.
Layanan baik daripada kakitangannya membuatkan pengunjung tidak berasa kekok malah meningkatkan pengalaman menarik percutian mereka untuk di bawa pulang ke rumah masing-masing nanti.
Menurut Pengurus Besar Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, Fariz Victor, ini adalah destinasi pilihan untuk golongan korporat dan usahawan bermalam bagi urusan berkaitan perniagaan, pendidikan, perubatan, perindustrian atau sekadar bersantai sebagai staycation kerana ia terletak di lokasi strategik di kawasan Lembah Klang ini.
Mudah diakses dengan beberapa lebuh raya utama dan berdekatan dengan beberapa kemudahan awam menjadikan ia turut popular dalam kalangan pelancong asing dan juga tempatan.
Hotel yang memiliki sebanyak 229 unit bilik dengan pelbagai jenis seperti suite superior, deluxe, privilege dan eksekutif mampu menawarkan manfaat santai dan berihat dengan rekaan dalaman moden serta kontemporari yang menarik pada harga mampu milik.
“Setiap bilik tergantung lukisan menarik buatan anak tempatan yang memiliki ceritanya tersendiri dan keunikan ini memberi kelainan daripada premis hotel yang lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Fariz menerangkan, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie juga memiliki beberapa kemudahan yang lengkap untuk dimanfaat oleh pengunjungnya termasuk restoran, bilik mesyuarat, dewan majlis, kolam renang dan lebih menarik terdapat satu ruang santai di tingkat atas bangunan bersesuaian untuk mana-mana syarikat menganjurkan majlis.
“Keluarga juga boleh membuat tempahan untuk majlis pertunangan kerana pemandangan semulajadi dengan pencahayaan serta pengudaraan segar di tingkat atas selain persekitarannya agak santai membolehkan mereka bebas menggunakan ruang yang luas untuk beramah mesra bersama tetamu.
“Kami akan membantu pelanggan untuk menghias ruang tersebut mengikut tema mereka,” jelasnya.
Selain itu, restoran yang dikenali sebagai Warna bakal menambah pengalaman menarik kepada pengunjung kerana cef-cef berpengalamannya menyajikan menu yang lazat untuk memenuhi cita rasa pelanggan daripada yang berusia kanak-kanak hinggalah kepada warga emas.
Ruang restoran yang luas tidak memberi tekanan kepada mana-mana pengunjung untuk memilih menu buffet khususnya pada sesi sarapan pagi dan juga pada waktu-waktu terluang yang lain.
Ia juga sesuai ditempah oleh kumpulan korporat, warga institusi pengajian tinggi, sektor awam dan juga keluarga untuk menganjurkan pelbagai jenis majlis mengikut bajet dan keperluan mereka. -KOSMO! ONLINE