fbpx

Mangsa ditikam bapa bakal diberi perlindungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina bercakap pada sidang akhbar selepas program Kembara Prihatin Negara (KPN) Kawasan Pangsapuri Cempaka, Pulau Meranti di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia memberi perlindungan kepada bayi yang ditikam bapanya di flat Puchong Permai, Selangor semalam.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, bayi berusia 18 bulan itu mungkin dapat perlindungan khas pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas keluar dari hospital.

“Saya berasa kesal dengan apa yang berlaku, namun pihak kementerian sedia menawarkan perlindungan untuk mangsa setelah proses siasatan oleh polis diselesaikan nanti,” katanya.

Beliau mengulas insiden seorang bapa yang berusia 27 tahun mengamuk dan menikam anak perempuannya itu dengan pisau pemotong roti di sebuah rumah dekat Subang Jaya semalam.

Suspek berjaya ditahan pihak polis yang bergegas ke lokasi kejadian itu manakala mangsa dikejarkan segera ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam situasi stabil.

Terdahulu, Rina hadir bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan bersempena Kembara Prihatin Negara kepada 47 penerima di Pangsapuri Cempaka, Sepang dekat sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pihak kementerian itu akan mengenal pasti apakah faktor kejadian tragik sedemikian boleh berlaku dalam masyarakat agar tidak lagi berulang.

“”Saya nak lihat apa punca insiden sebegini sebab kita tidak mahu ia akan menimpa keluarga lain pada masa akan datang terutama perubahan emosi ahli keluarga terdekat,” katanya lagi.

Justeru, Rina berharap masyarakat dapat memanfaatkan talian Nur Kasih 15999 yang turut menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp 019-2615999 untuk perkhidmatan kaunseling.

Ia dengan kerjasama Lembaga Kaunselor Malaysia, sebuah agensi di bawah kementerian itu, bukan sahaja bagi mangsa buat aduan, malah sesiapa ada maklumat awal kes sedemikian.

“Kita berharap masyarakat dapat memainkan peranan kerana mereka orang pertama dapat merasai perubahan emosi dan gangguan seseorang sebelum ia merebak lebih jauh,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI