SEPANG – Lelaki yang ditahan berhubung kes melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini dua minggu lalu dijangka didakwa atas pertuduhan kes jenayah di mahkamah esok.
Difahamkan, Hafizul Hawari, 38, akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Sepang di sini pada pukul 8 pagi.
Di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, Hafizul mengaku tidak salah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan sebungkus mercun.
Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan dalam sebuah kereta Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana, Kota Bharu pukul 2 petang pada 15 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei ini untuk lantikan peguam, sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE