fbpx

Import 100kg ganja dari Thailand setiap minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusdi (kiri) menunjukkan bungkusan ganja bernilai sekitar RM2,000 mengikut harga pasaran pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket dadah yang mengimport sehingga 100 kilogram (kg) ganja setiap minggu dari Thailand melibatkan rampasan bernilai RM300,000.

Turut ditahan enam lelaki dan dua wanita dalam enam serbuan berasingan di Cheras di sini sejak 18 April hingga 23 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Lokasi yang diserbu termasuk pejabat syarikat kurier, kondominium dan sebuah rumah di Cheras serta Pandan Indah.

“Kami merampas sebanyak 94.8 kg ganja bernilai RM293,830 melibatkan tangkapan enam lelaki dan dua wanita warga tempatan.

“Kesemua suspek ditahan sehingga 29 April ini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Cheras hari ini.

Menurut Rusdi, beberapa barang termasuk telefon bimbit, motosikal, tiga kad akses, wang tunai RM34,000, dua pembungkus makanan arnab dan pemotong pizza dirampas.

Katanya pihaknya percaya sindiket itu beroperasi selama dua tahun dan menggunakan kondominium mewah untuk menyimpan dadah.

“Siasatan mendapati sindiket mendapatkan bekalan dadah dari Thailand melalui kurier. Mereka akan membuat pesanan sehingga 100kg ganja setiap minggu dan membayar pembekal sehingga RM1,000 bagi setiap kg.

“Sebahagian ganja yang dibekalkan itu disimpan dalam pembungkus makanan arnab,” katanya.

Jelas Rusdi, suspek menggunakan aplikasi Telegram untuk berhubung dengan pembeli serta pembekal selain memasarkannya di seluruh negara menggunakan kurier.

Suspek turut menawarkan ganja dalam bentuk kepingan seperti brownies yang dijual pada harga RM50 setiap satu.

“Bagi bentuk blok pula, suspek mengenakan harga RM2,500 setiap satu manakala bentuk rokok berharga RM100 setiap satu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di tempat masing-masing diminta menghubungi IPD Cheras di talian 03-92050222 atau Polis KL 03-2115999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI