fbpx

Arwah kakak amanahkan 4 orang anak kepada Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesedihan Kaka Azraff berganda apabila dia kehilangan kakak tersayang Ramadan lalu disebabkan jangkitan kuman dalam otak.

KUALA LUMPUR – “Sebenarnya saya langsung tidak mahu sambut raya tahun ini.”

Demikian kata penyanyi Kaka yang masih terkesan dengan pemergian mengejut kakaknya, Noor Afida Noor Azraff, 39, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman empat hari sebelum Ramadan baru-baru ini.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Noor Azraff, 35, sepatutnya tahun ini adalah sambutan raya pertama keluarga tanpa ibu, Redida Aziz yang meninggal dunia pada tahun lalu.

Namun, kesedihannya berganda kerana tidak menyangka sambutan raya tahun ini sepi tanpa dua insan tersayang secara serentak.

“Kiranya tahun ini kali pertamalah raya tanpa mama, tetapi sekarang menjadi tanpa mama dan kakak.

“Sejujurnya saya hanya kuat kerana suami, anak-anak dan anak arwah kakak.

“Jadi, suka atau tidak saya paksa diri untuk beraya supaya mereka juga ada kenangan,” kongsi Kaka dengan linangan air mata.

Tambah Kaka, apa yang membuatkan hatinya sayu adalah kakaknya meninggalkan empat orang anak yang masih kecil berusia antara 3 sehingga 14 tahun.

“Arwah kakak demam lebih daripada dua minggu dan jangkitan kuman telah sampai ke otak. Pemergiannya sangat mengejut.

“Jadi, sekarang saya bersama adik membuat keputusan membesarkan anak saudara bersama-sama kerana bapa mereka sibuk bekerja.

“Alhamdulillah, suami saya pun mengizinkan dan bersama-sama mahu membesarkan mereka. Anak arwah memang rapat dengan saya dan sudah anggap seperti anak sendiri,” tutur Kaka.

Dalam pada itu, Kaka menegaskan emosinya masih belum stabil dengan pemergian mengejut kakaknya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

“Emosi saya masih belum stabil, bila bercakap tentang arwah kakak air mata saya laju keluar saya tidak boleh kawal.

“Sebab itu, saya tidak aktif dalam media sosial sekarang ini. Namun, saya bersyukur saya memiliki sokongan yang kuat daripada keluarga dan orang sekeliling.

“Sekarang ini saya bukan bekerja untuk diri dan keluarga kecil saya sahaja tetapi juga untuk anak-anak arwah kakak. Aturan Allah sangat cantik, sekarang apabila bergerak sendiri rezeki semakin banyak dan ada lebih banyak masa bersama keluarga,” luah Kaka.

Kaka ditemui pada sidang media program The Hardest Singing Show di The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam program berkenaan Kaka akan berentap dengan lapan penyanyi popular tanah air iaitu Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi, De Fam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.

The Hardest Singing Show akan mula ditayangkan pada12 Mei, setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (Saluran 104). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI