PETALING JAYA – “Insya-Allah sayang akan jaga anak-anak dengan baik. Abang tahu kan sayang kuat”.
Demikian kata isteri kepada Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 34, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung, semalam.
Siti Aisyah berkata, dia baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka beberapa hari lalu dan menerima gubahan bunga daripada suaminya yang menjadi kenangan akhir bersama arwah.
“Abang tahu sayang tak suka bunga tapi sayang gembira dapat bunga ini waktu ‘anniversary’ (ulang tahun) kita. Berseri rumah kita tapi hanya beberapa hari, rumah kita dah hilang seri.
“Abang dah tak balik dan saya simpan apa sahaja yang abang beri,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Siti Aisyah berkata, dia juga terkilan tidak dapat menyambut ulang tahun kelahirannya esok bersama suami tercinta.
“Hari jadi sayang lusa (esok) abang. Setiap tahun sayang akan tertunggu-tunggu hadiah. Tahun ini, hadiah besar yang sayang dapat.
“Alfatihah buat suamiku Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE