RAWANG – Seperti hilang kata-kata , bekas suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi iaitu Datuk Red enggan memberikan sebarang kenyataan selepas sah bercerai talak satu.
Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu, 46, ketika ditemui selepas lafaz talak dibacakan hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang respons ketika soalan disua pengamal media.
Pun begitu, Datuk Red sebaliknya meminta agar semua pertanyaan berhubung kes perceraian mereka diajukan sahaja kepada bekas isterinya.
“Tanya dia (Adira), saya dah tak larat nak jalan, kaki pun dah tak kuat,” ujarnya ringkas kepada Kosmo! Online.
Datuk Red kemudian bergegas meninggalkan perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 miliknya.
Bapa kepada 11 cahaya mata itu juga dilihat sempat membasahkan tekak dengan menghirup air teh O’ ais seterusnya berlalu pergi.
Pagi tadi, Adira sah bercerai talak satu selepas lafaz talak dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 pagi.
Abdul Hadi Omar turut mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Sementara itu, Datuk Red ketika prosiding sedang dibacakan kelihatan tunduk sayu, manakala Adira hanya kelihatan tenang.
Dalam masa sama, penyanyi Pujaan Hati itu juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas semuanya.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian terhadap Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober 2023.
Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah.
Pasangan terbabit berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. – KOSMO! ONLINE