LARUT – “Jaga diri dan belajar bersungguh-sungguh,” itulah pesanan terakhir Pegawai Waran II, Nurfarahimi Mohd. Suady, 41, kepada anak keduanya, Nur Alwani Fatihah Muhd. Faizul, 12, sebelum dia menyertai acara raptai lintas hormat yang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut pada pagi semalam.
Anaknya itu memberitahu, ibunya itu tidak pernah berpesan begitu dan biasanya hanya bersalaman sebelum terus pergi kerja.
“Rasa agak pelik apabila ummi berpesan begitu dan ketika di sekolah rasa tak sedap hati sehinggalah abang, Muhd. Alif Farhan, 16, datang memberitahu tentang insiden yang menimpa ummi,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu saudaranya di Kampung Banggol Jas, Rantau Panjang, Selama di sini semalam.
Menurutnya, pesanan itu masih lagi terngiang-ngiang di telinganya dan tidak menyangka itu merupakan pesanan terakhir ibunya.
Sementara itu, kakak sulung mangsa, Norlaida Mohd. Saedy, 55, berkata, Allahyarham merupakan anak keempat daripada lima beradik.
“Dia sempat merakam video suasana pemandangan dari atas dan menghantar ke dalam kumpulan WhatsApp keluarga sebelum tragedi itu berlaku, saya reda dan menerima ketentuan Ilahi,” katanya.
Ibu saudara mangsa, Laila Fairus Ismail, 58, berkata, Allahyarhamah amat rapat dengan dirinya setelah kematian ibunya pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu.
Jenazah Allahyarham Nurfarahimi dijangka akan disemadikan di tanah Perkuburan Islam Kampung Damak, Sungai Bayor di sini atas permintaan suaminya.
Nurfarahimi merupakan antara 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua buah helikopter yang bertembung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut ketika menjalani latihan raptai sempena Hari TLDM. – KOSMO! ONLINE