PETALING JAYA – Pelakon Datuk Eizlan Yusof bakal bergelar bapa sekali lagi apabila memaklumkan isterinya, Natasha Rosa Boudville kini sedang berbadan dua.
Berita gembira berkenaan dikongsikan Eizlan, 49, menerusi sebuah gambar yang dikongsikan menerusi Instagramnya dua hari lalu.
Eizlan berkongsi sekeping gambarnya bersama Natasha, 30, sempena meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada 12 Disember lalu.
“Selamat ulang tahun perkahwinan pertama kepada pasangan sehidup sematiku, @sashaboudville.
“Terima kasih atas cintamu, yayang mommy to be (yayang yang akan bergelar ibu). Terima kasih atas ucapan yang baik dan doa kalian semua,” tulisnya.
Bayi yang akan dilahirkan kelak merupakan cahaya mata pertama Eizlan hasil perkongsian hidupnya dengan Natasha yang merupakan wanita keturunan Serani.
Eizlan yang memiliki tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Vie Shantie Khan menamatkan zaman duda bersama Natasha pada 12 Disember tahun lalu di Putrajaya.
Majlis pasangan itu yang diadakan selama empat hari berturut-turut menelan belanja sebanyak lebih RM1 juta. – K! ONLINE