fbpx

Reman suspek kes aniaya budak perempuan dilanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 10 suspek kes aniaya budak perempuan 12 tahun direman lima hari lagi di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Perintah reman 10 remaja lelaki yang disyaki memperkosa seorang budak perempuan berusia 12 tahun pada akhir minggu lalu telah dilanjutkan empat hari lagi sehingga Khamis ini.

Permohonan tambahan reman itu dibenarkan Pendaftar Mahkamah, Masni Hajar Ghazali di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kesemua suspek berusia 13 hingga 19 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan setakat ini percaya jenayah rogol dilakukan terhadap mangsa yang merupakan murid tahun enam sebuah sekolah rendah di daerah tersebut melibatkan 10 suspek terbabit sahaja.

Kosmo! Online Khamis lalu melaporkan kesemua 10 suspek ditahan reman selama lima hari bermula 9 Disember lalu bagi membantu siasatan dakwaan memperkosa seorang budak perempuan.

Mangsa mendakwa diperkosa kesemua suspek termasuk salah seorang yang baru dua hari dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Kejadian itu terbongkar selepas didesak ahli keluarganya menceritakan hal sebenar setelah dua hari tidak pulang ke rumah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI