LUMUT – Isteri kepada salah seorang juruterbang dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi, baru sahaja bertukar dari Pulau Pinang ke Perak demi untuk berada dekat dengan suaminya itu.
Dr. S. Harshini, baru memulakan tugasnya di Klinik Kesihatan Langkap, Teluk Intan semalam selepas permohonannya bertukar dari sebuah hospital di Pulau Pinang diluluskan.
Dr. Harshini yang juga seorang doktor gigi dan berasal dari Buntong, Ipoh melangsungkan perkahwinan dengan Leftenan T.Sivasuthan, 31, pada 21 Januari lalu.
Sivasuthan adalah pembantu juruterbang helikopter FENNEC M502-6 yang terlibat dalam nahas bersama sebuah lagi Helikopter Operasi Maritim (HOM) yang mengorbankan 10 orang.
Menurut salah seorang ahli keluarga Sivasuthan yang enggan dikenali, pasangan tersebut menjadi pasangan jarak jauh sejak kira-kira empat bulan lalu, sebelum Dr. Harshini berjaya bertukar ke Perak dan mula bertugas semalam.
Bagaimanapun, jelasnya, mereka terpaksa berpisah buat selama-lamanya akibat nahas tersebut.
“Sivasuthan tinggal di sini bersama ibu bapanya, M. Thanjappan dan Parameswari, kedua-duanya pesara guru dan seorang adik mangsa,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Serdang Jaya, Sitiawan di sini hari ini.
Menurutnya, adik mangsa telah pergi ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, untuk melakukan ujian padanan DNA.
Jelasnya, ibu bapa dan isteri mangsa berada di rumah itu dan terlalu bersedih dengan kejadian tersebut serta belum bersedia bercakap dengan media. – KOSMO! ONLINE.